Thursday, September 01, 2005

Dilema Penulis Fiksyen Inggeris Tempatan

PENGENALAN

MENYOROT perkembangan penulis fiksyen berbahasa Inggeris tempatan hari ini menjadi tidak lengkap sekiranya sejarahnya tidak dicungkil kembali. Faktor bahasa dan juga kolonialisme telah menyebabkan pertumbuhan yang rancak sekitar zaman pramerdeka hinggalah peringkat awal pascamerdeka.

Agak sukar untuk membuat dikotomi antara penulis fiksyen dan non-fiksyen dalam bahasa apa sekalipun. Apatah lagi penulis jarang bertumpu hanya pada satu genre penulisan. Tidak dinafikan penulis fiksyen juga turut terlibat sama dalam menyumbang tulisan dan buah fikiran melalui karya non-fiksyen. Walau bagaimanapun, bagi tujuan rencana ini, tumpuan diberikan kepada penulis fiksyen berbahasa Inggeris sahaja, termasuklah genre cerpen, puisi dan juga penulisan skrip drama.

SEJARAH

Menurut K.S. Maniam dalam tulisannya The New Diaspora, beliau merujuk kepada tiga zaman yang penting dalam sejarah tanah air. Sejarah yang terbentuk dalam ketiga-tiga zaman ini mewujudkan kelompok penulis yang mempunyai pendekatan yang agak berbeza. Zaman yang dimaksudkan ialah zaman selepas Perang Dunia Kedua, zaman pascamerdeka dan zaman di antara tahun 1970 hingga sekarang.

Beliau turut menyifatkan zaman selepas Perang Dunia Kedua sebagai tempoh penuh traumatik bagi rakyat negara ini. Penjajahan Jepun memberi kesan kepada proses pencarian semula potensi diri yang telah dilemahkan oleh penjajahan.

Period kedua pula merupakan satu tempoh penubuhan sebuah negara yang baru lahir serta proses pencarian identiti negara di samping pembentukan negara pelbagai bangsa.

Manakala zaman yang ketiga pula ialah suatu tempoh apabila rakyat Malaysia diberi peluang sama ada untuk memperkukuhkan jati diri pada akar budaya bangsa masing-masing ataupun keluar daripada kepompong etnik dan mencari hala tuju di peringkat global.

Kewujudan budaya imigran terutama sekali Baba Melaka dikatakan sebagai kumpulan yang terawal menggunakan bahasa Inggeris untuk tujuan kreatif di Tanah Melayu. Beberapa percubaan menulis puisi dalam bahasa Inggeris bermula pada akhir tahun 40-an.

Seorang penyair besar Singapura, Edwin Thumboo melihat perkembangan sastera ini “while literature in Chinese worked on ethnic themes which kept alive associations with the parent country, and Malay literature pursued a nationalist policy, English offered itself as a liberating possibility." (apabila sastera bagi kaum Cina bergerak sekitar tema yang bersifat etnik dengan mengaitkan hubungan dengan negeri China, sementara sastera Melayu pula menegakkan polisi nasionalis, sastera Inggeris dilihat menawarkan satu peluang untuk membebaskan diri daripada kedua-duanya.)

Sasterawan Negara Muhammad Haji Salleh yang terlibat secara langsung dalam kedua-dua dunia sastera Inggeris dan Melayu di Malaysia, turut berpendapat bahawa sejarah penjajahan Tanah Melayu pada ketika itu banyak memberi kesan kepada perkembangan penulisan sastera Inggeris tempatan.

Tidak dapat dinafikan bahawa persoalan bahasa pada awal tahun-tahun 50-an dan 60-an masih lagi kuat dipengaruhi Inggeris. Fenomena dan dasar pendidikan pada ketika itu memungkinkan ramai pelajar terutamanya, menguasai bahasa Inggeris dengan baik. Bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar di sekolah-sekolah menjadi pemangkin kepada kelahiran penulis-penulis sastera Inggeris.

Nama-nama besar seperti Ee Tiang Hong, Edwin Thumboo, Muhammad Haji Salleh, Shirley Lim, K.S. Maniam, dan Wong Phui Nam membina tapak dunia penulisan sastera Inggeris mereka pada sekitar zaman ini.

Walau bagaimanapun, penulis fiksyen Inggeris ini seperti bermain-main di halaman rumah sendiri. Pada ketika ini masih wujud semacam jurang antara penulis sastera Melayu berbanding sastera Inggeris meskipun dengan cara yang tidak nyata.

Peristiwa 13 Mei 1969, memaksa negara yang masih baru ini segera membentuk perpaduan. Bahasa dilihat sebagai elemen sangat penting yang boleh menyatukan semua kaum di Tanah Melayu. Kelahiran nasionalisme pula dilihat seperti memberi satu bentuk definisi kepada kedudukan kaum. Kaum bukan bumiputra kini harus bekerjasama dengan penduduk pribumi untuk membawa negara ke arah merealisasikan Malaysia sebagai sebuah negara yang bersatu.

Penekanan aspek bahasa sebagai penyatu semua kaum, Dasar Bahasa Kebangsaan dan penggunaan istilah “Bahasa Malaysia” telah diserapkan bukan sekadar dalam surat rasmi kerajaan, penyiaran di radio dan televisyen malah sehinggalah ke sekolah-sekolah.
Hasilnya wujudlah generasi hari ini yang dibesarkan dengan Bahasa Melayu dan secara tidak langsung golongan yang menulis dalam Bahasa Inggeris semakin kurang mendapat tempat yang utama dalam agenda negara.

Namun ada sesetengah pihak yang tidak dapat menerima penerapan dasar negara yang baru pada waktu tersebut. Ini termasuklah beberapa kelompok penulis sastera Inggeris yang selama ini bergelumang dalam bahasa Inggeris sepenuhnya. Perubahan ini dirasakan agak mendadak dan menerima pelbagai reaksi.

Eddie Tay pernah menyebut dalam tulisan beliau yang berjudul Unsettling Ways of Exile : The Unhomely in the Poetry of Wong Phui Nam bahawa penyair Wong Phui Nam dilihat melalui satu tempoh pengasingan minda (The Exile of the Mind) dalam tempoh tersebut.

Terdapat beberapa bentuk pengasingan iaitu penulis ataupun intelektual tempatan yang merasa terasing dalam negara sendiri sama ada kerana latar sejarah, bahasa ataupun pendidikan.

Pengasingan minda ini dihadapi oleh Wong Phui Nam apabila keturunan keluarganya merupakan diaspora Cina; dalam masa yang sama beliau merupakan produk pendidikan kolonial yang menggunakan Bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar. Secara tidak langsung, penyair seperti beliau terpinggir oleh ideologi politik Malaysia yang dominan dalam menentukan hala tuju sebuah negara.

Namun demikian, Wong Phui Nam memilih untuk tidak meninggalkan negara dan terus berkarya di Malaysia. Beliau tidak mengikut jejak, misalnya Shirley Lim (kini di University of California, Santa Barbara) yang meninggalkan Melaka selepas 13 Mei 1969 dan mendiang Ee Tiang Hong yang berhijrah ke Perth pada tahun 1975.

Reaksi Ee berbunyi : “The fact that there have been many and different orders of tradition in Malaysia, each with its own distinctive roots, and several roots have tangled and intertwined for generations. It was a political decision which determined which root should be nurtured, and which pulled out.” (Oleh kerana terdapat tradisi yang berbeza-beza di Malaysia, masing-masing mempunyai akar budaya tersendiri dan ada antara akar tersebut seakan-akan terbelit sesama sendiri hingga ke beberapa generasi. Keputusan politiklah yang menentukan akar mana yang perlu dipelihara dan akar mana yang perlu dicabut keluar.)

Lontaran rasa Ee terasa seperti ada nada rajuk yang tidak berkesudahan di kalangan penulis sastera Inggeris pada ketika itu. Beliau merujuk kepada keputusan politik yang mengangkat satu komuniti sastera berbanding yang lain atas nama nasionalisme.

Apabila Perlembagaan Persekutuan mengangkat taraf Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, ia memberi kesan terhadap perkembangan sastera di Malaysia, sama ada sastera Inggeris ataupun sastera Melayu. Akibatnya penulis sastera Inggeris di Malaysia secara tidak langsung merasa diketepikan seperti kata Lloyd Fernando, karya penulis bukan Melayu yang tidak menulis dalam bahasa Melayu tidak dimasukkan ke dalam Sastera Kebangsaan, tetapi diasingkan ke dalam kumpulan yang dinamakan Sectional Literature. Penggunaan terma ini menurut Lloyd lagi menjadikan karya sastera yang ditulis dalam bahasa selain daripada Bahasa Melayu sebagai sastera kelas kedua dalam negara sendiri.

Meskipun Wong Phui Nam tidak mengikuti jejak Shirley dan Ee Tiang Hong, dan beliau menerima suasana dalam negara yang meletakkan beliau sebagai ‘orang luar’ dalam konteks sastera kebangsaan, karya-karya beliau turut menyuarakan rasa hatinya tentang keadaan politik dan budaya di Malaysia.

Dalam karyanya, Nocturnes and Bagatelles, Wong menggambarkan situasi sebagai penulis bukan Melayu yang dialaminya :

How long must I bend
in this uncertainty
I in my thought like flowers
toward every uncertain light,
how long must I labour
working from every bud
which folds within its calyx my emptiness
toward each promise of rain
that I in my separateness
shuld move toward full flowering of the human
that my words may quicken
with the grief and laughter
of every alien heart.


SN Muhammad Haji Salleh dikatakan turut mengalami situasi yang hampir sama dengan Wong Phui Nam. Cuma yang membezakan hanya kedudukan Muhammad sebagai orang Melayu yang mempunyai pilihan untuk menguasai sastera Melayu.

Dato’ Baha Zain pernah menyebut bahawa apabila Bahasa Melayu diangkat menjadi bahasa kebangsaan, Bahasa Melayu benar-benar menjadi alat yang menyatukan golongan penulis hingga dilihat mampu mendorong penulis sastera Inggeris tempatan menulis dalam Bahasa Melayu. Muhammad Haji Salleh dan Krishen Jit turut menyumbang karya dalam bahasa kebangsaan. Lalu, desakan dan pencarian ruang untuk menulis telah melahirkan majalah yang khusus untuk sastera Melayu iaitu Dewan Sastera pada tahun 1971.
Dilema untuk penulis-penulis fiksyen Inggeris tempatan bertambah apabila ruang untuk menulis seperti sudah tidak ada lagi.

SENARIO HARI INI

Temuramah dengan beberapa penulis fiksyen Inggeris tempatan menawarkan perspektif yang berbeza. Dalam pada itu, masih ada lagi beberapa cabaran yang berulang sejak dari zaman pramerdeka hinggalah ke hari ini.
Sharon Bakar, seorang editor bebas dan juga warganegara British yang telah menetap di Malaysia lebih daripada 20 tahun, menyebut tentang jumlah pembaca fiksyen Inggeris tempatan masih lagi secara relatifnya kecil. Ini ditambah pula dengan masalah menerbitkan karya fiksyen Inggeris di Malaysia. Kekurangan sokongan terhadap penulis dalam bentuk kursus penulisan, kemudahan, bengkel dan acara turut menyumbang kepada kurangnya jumlah penulis fiksyen Inggeris tempatan.

Dina Zaman, Editor Malaysiakini turut menyuarakan perkara yang sama. Beliau menambah, tidak banyak penerbit di Malaysia yang mahu menerbitkan karya fiksyen Inggeris penulis tempatan.

Tiada sebarang bentuk pengiktirafan diberikan oleh mana-mana organisasi kepada penulis. Apatah lagi, tidak banyak sayembara yang boleh membantu merancakkan lagi senario penulisan kreatif berbahasa Inggeris dewasa kini.

Masalah demikian menyebabkan sebilangan besar daripada penulis fiksyen Inggeris menghasilkan skrip teater dan terlibat dengan penerbitan filem. Kekurangan sokongan dari aspek editorial dan juga kewangan telah melihat penghijrah ke genre yang lebih popular ini.
Menyedari hakikat dan cabaran yang dihadapi oleh penulis fiksyen Inggeris tempatan, Silverfish Books telah mengambil inisiatif menubuhkan sebuah syarikat penerbitan dan sekaligus sebuah kedai buku bagi memenuhi hasrat membantu penulis-penulis ini.

Pemiliknya, Encik Raman, menyatakan tujuan Silverfish Books ditubuhkan sejak Jun 1999 ialah antara lain, sebagai sebuah kedai buku alternatif untuk pembaca serius yang memerlukan bahan bacaan berkualiti serta suasana persekitaran kedai buku yang menyenangkan pembaca. Raman turut mengakui bahawa pasaran buku Inggeris tempatan agak sederahana iaitu sekitar 1,500 hingga 2,000 naskhah bagi judul-judul tertentu.

Meskipun Silverfish Books tidak mengadakan sebarang bentuk anugerah penulisan, namun ia membuka peluang yang luas kepada penulis serta calon penulis untuk menerbitkan hasil karya mereka. Beliau melihat banyak bakat yang tumbuh tetapi kelompok penulis ini masih memerlukan kemahiran berbahasa serta disiplin diri sebagai penulis bagi memungkinkan mereka diiktiraf hingga ke peringkat antarabangsa.

Dengan dana yang terhad serta merasakan kelompok mereka sebagai penulis pinggiran yang tidak dapat menyertai arus perdana sastera kebangsaan, penulis-penulis fiksyen Inggeris tempatan bekerja keras untuk merealisasikan bahawa mereka juga punya tempat dalam dunia sastera tempatan mahupun antarabangsa.

Kelompok ini bukannya ketandusan bakat. Mereka ada penulis-penulis yang boleh diketengahkan seperti Bernice Chauly, Amir Muhammad, Kee Thuan Chye, Edwin Khoo dan Rosihan Zain (sekadar menyebut beberapa nama).

Mereka tidak dapat mengharapkan sebarang sokongan daripada kerajaan ataupun mana-mana institusi. Dengan yang demikian, mereka tidak boleh menjadi penulis sepenuh masa. Ini menambah lebih banyak cabaran kepada penulis-penulis ini apabila mereka wajib memiliki kerja tetap dan menulis hanyalah sebagai minat sampingan.

Kelembapan penerbit karya berbahasa Inggeris ini sedikit sebanyak mengurangkan peluang penulis tempatan mengambil bahagian apatah lagi memenangi anugerah di peringkat antarabangsa. Senario ini juga telah menyebabkan beberapa penulis ‘melarikan diri’ dan menerbitkan karya mereka di negara luar seperti Singapura, United Kingdom dan Amerika Syarikat.

Hal inilah sedikit sebanyak mendorong nama-nama besar dalam dunia penulisan fiksyen Inggeris tempatan seperti Shirley Lim dan K.S. Maniam, misalnya menerbitkan karya mereka di negara luar. Ini tidak menghairankan kerana peluang untuk menerbitkan karya dalam Bahasa Inggeris sememangnya lebih terbuka di sana.

K.S. Maniam juga telah memenangi The Raja Rao Award 2000 atas sumbangan beliau yang sangat cemerlang dalam bidang Diaspora Sastera Asia Selatan.

Peluang yang terbuka ini jugalah yang telah dimanfaatkan oleh penulis Rani Manicka yang baru-baru ini memenangi Hadiah Penulis Komenwel 2003 menerusi novel sulungnya The Rice Mother. Rani yang dilahirkan dan mendapat pendidikan di Malaysia merupakan graduan ekonomi yang kini menetap di United Kingdom. Novel tersebut memenangi kategori Asia Tenggara dan Pasifik Selatan.

Fenomena yang menarik perhatian sastera Inggeris tempatan pula ialah penulis muda Tash Aw yang menghasilkan novel The Harmony Silk Factory. Penulis ini walaupun dilahirkan di Taipei tetapi dibesarkan di Bangsar, Kuala Lumpur. Bapanya seorang jurutera kelahiran Kota Bharu sementara ibunya berasal dari Ipoh.

Ketika melanjutkan pelajaran dalam bidang undang-undang di Warwick University, beliau turut mendaftarkan diri dalam kursus penulisan kreatif di University of East Anglia, London.
Mereka berdua merupakan dua contoh penulis Malaysia yang berjaya kerana diberi peluang menerbitkan karya di luar negara. Pasaran buku di peringkat antarabangsa pula lebih memberangsangkan.

Malang sekali, sebagai rakyat Malaysia, kita hanya dapat berbangga dengan pencapaian mereka di peringkat antarabangsa. Sayangnya mereka tidak tinggal di Malaysia. Rani Manicka dan Tash Aw menetap di United Kingdom. Shirley Lim dan K.S.Maniam pula di Amerika Syarikat.

Apakah senario ini seolah-olah mencadangkan kepada penulis tempatan supaya berhijrah untuk membolehkan karya mereka lebih mudah diterbitkan dan seterusnya mudah dipasarkan. Bukan sedikit pengiktirafan yang diperoleh penulis-penulis ini di peringkat antarabangsa. Namun mereka tidak mendapat pengiktirafan yang setaraf di peringkat kebangsaan.

Raman dari Silverfish tidak bersetuju dengan kenyataan ini. Menurut beliau penulis yang ingin diiktiraf di peringkat antarabangsa harus menulis tentang pengalaman di Malaysia. Pengalaman unik inilah yang dicari-cari oleh masyarakat pembaca antarabangsa.

Menyentuh aspek pengiktirafan yang diberikan di peringkatan tempatan, baru-baru ini Hadiah Sastera Kumpulan Utusan – Exxon-Mobil telah mengumumkan kategori baru dalam sayembara tahunan mereka. Kali ini pihak Utusan dan Exxon-Mobil ‘membuka’ pintu kepada penulis fiskyen Inggeris untuk mengambil bahagian dalam pertandingan novel remaja Bahasa Inggeris.

Timbul pelbagai reaksi masyarakat sastera tempatan tentang perkara ini. Ada yang menyifatkan sebagai sesuatu yang amat positif lantaran peluang sebegini bukan sahaja ditunggu-tunggu oleh penulis fiksyen Inggeris tetapi ia seolah-olah membina jambatan istimewa antara penulis sastera Melayu dan sastera Inggeris.

Pada sisi yang lain pula, tindakan pihak penganjur kelihatan janggal kerana Kumpulan Utusan yang sebelum ini dikenali sebagai Utusan Melayu Berhad merupakan media yang secara tekal memperjuangkan Bahasa Melayu, kini mewujudkan sayap baru dalam perjuangannya.

Persoalannya apakah Kumpulan Utusan wajar menggalas tanggungjawab memberi wadah kepada penulis fiksyen Inggeris sedangkan tiada inisiatif yang serupa diambil oleh akhbar-akhbar berbahasa Inggeris yang lain. Kalau pada awal tahun 90-an, akhbar The New Straits Times dengan kerjasama Shell pernah mengadakan sayembara cerpen Bahasa Inggeris. Tetapi kini agak sukar mencari sebarang sayembara yang serupa dalam mana-mana akhbar berbahasa Inggeris.

Wakil Utusan Publication & Distributors menerangkan bahawa setakat ini promosi hanya dibuat dalam akhbar Mingguan Malaysia dan belum ada publisiti dalam mana-mana media berbahasa Inggeris.

Apakah usaha ini memadai sedangkan beberapa penulis fiksyen Inggeris yang dihubungi tidak mengetahui tentang kewujudan sayembara ini. Kemungkinan pihak penganjur mempunyai perancangan dan agenda yang tersendiri dalam menangani perkara ini.

Walau bagaimanapun, biarlah ia terakam dalam sejarah bahawa pihak yang bertanggungjawab dalam memperjuangkan nasib sastera Melayu dalam masa yang sama tidak pernah melupakan penulis-penulis bukan sastera Melayu. Barangkali selepas ini, tanggungjawab ini akan dapat dilihat dengan lebih objektif oleh pihak yang seharus menggalas harapan penulis-penulis fiksyen Inggeris tempatan.

Penulis fiksyen Inggeris tempatan mempunyai masa depan yang cerah. Mereka sudah membina khalayak tersendiri. Berdasarkan latar belakang pendidikan, generasi penulis muda hari ini tidak kira sama ada berbangsa Melayu ataupun etnik yang berbeza telah mula menceburkan diri dalam penulisan fiksyen Inggeris.

Namun mereka masih lagi memerlukan sokongan daripada banyak pihak sebelum dapat melangkah dengan yakin di persada sastera tempatan mahupun antarabangsa.
BIBLIOGRAFI

No comments: